Thursday, January 18, 2018

Tak Sanggup Lepaskan Dia Pergi?

Tahu tak..pada usia 33 hampir ke 34 tahun, baru terjawab satu persoalan yang dah lama berlegar dalam fikiran saya.

Isunya, jika kita sayangkan seseorang, dan orang itu sangat istimewa dalam hati, namun orang itu tak punya rasa yang sama sebagaimana kita, lepaskan dia pergi. Sekiranya dia kembali ke pangkuan kita, sememangnya itu takdir bahagia buat keduanya.

Isu kedua, senario yang sama seperti isu pertama diatas. Namun, setelah melepaskan si dia pergi, si dia lebih bahagia. Biarpun kita merasa sakit dan derita, namun atas nama kasih dan sayang, itu lebih baik. Percaya bahawa dengan izin Tuhan, kita juga akan temui apa yang lebih baik dan bermakna buat diri kita kemudiannya.

Isu ketiga, kita dan si dia bukan ditakdirkan bersama. Kita tidak rela melepaskan dia pergi. Tidak dapat menerima hakikat dan tidak mahu menghadam hikmah. Berusaha dengan cara kotor, menyihir si dia dengan hasrat dan harapan, sekiranya kita tidak berjaya memenangi si dia, jangan ada seorang pun berjaya milikinya. Konon atas alasan terlalu sayang dan tidak rela melepaskan dia pergi. Kononnya si dia pergi membawa bersama hati kita.

Ironinya, sebenarnya kita cuma sayangkan diri sendiri. Pentingkan diri sendiri. Menipu semua termasuk diri sendiri. Bukanlah sayang namanya dengan berbuat khianat begini. Bagaimana kiranya dikatakan sayang tetapi sanggup menyakiti si dia dengan sihir yang dihantar? Sungguh, saya tak mengerti hal ini. Dahulu saya sangat bingung. Namun, setelah mendapat pencerahan daripada insan bergelar naqibah, saya mengerti kini. Saya tetap percaya, dia yang menghantar sihir itu, tetap tidak tenang hidupnya. Tetap tidak bahagia. Cuma harapan saya, dia ada keberanian untuk bersemuka dan meminta maaf.