Sunday, November 9, 2014

poligami..(entri ini mungkin akan diedit atau didelete kemudian)

Kebelakangan ni hidup saya banyak "terjebak" dengan kes-kes  ataupun isu-isu POLIGAMI.. Baik dari kalangan kawan-kawan yang mengamalkan poligami, berkenalan dan bersembang dengan stranger tentang topik poligami dan membaca beberapa entry bloggers lain perihal poligami.

Sungguh bagi saya secara peribadi, tidak mempunyai masalah dengan praktis poligami di dalam agama kita, namun saya masih gagal nak menghadam maksud poligami secara amali dan praktikalnya.

Saya masih gagal nak membayangkan perasaan isteri pertama yang redha dan rela memberi kebenaran kepada suami untuk berkahwin lain. Mungkin atas alasan masalah kesihatan, atau masalah ekonomi (yng ni kompleks sikit) dan mungkin lain-lain sebab kepada solusi akhirnya ialah poligami.

Sungguh, mengenali diri saya sendiri, saya kagum dengan isteri-isteri yang aman damai hidup dibawah payung dan lindungan seorang suami. Hebatnya suami hingga dapat berlaku adil dan sentiasa berhemah dalam medidik isteri-isterinya. Begitu juga bagi isteri-isteri. Saya sangat kagum dengan kesabaran dan kecekalan anda menjalani kehidupan berkongsi insan penting yang bernama suami. Sanggup mengenepikan perasaan yang sekiranya dilayan akan mengakibatkan pergolakan dan konflik dalam rumahtangga poligmi. Tak terfikir dek akal yang saya akan setabah, secekal dan sesabar anda wahai isteri-isteri sekalian untuk "mengongsikan" suami saya dengan wanita lain. Saya fikir saya terlalu emosi dan cemburu untuk itu semua.

Walaubagaimana pun, bagi wanita-wanita tabah diluar sana yang hidup dalam suasana poligami, tahniah saya ucapkan..kerana anda merupakan insan hebat yang terpilih untuk menghadapi ujian poligami yang bagi saya sangat mencabar ini. Saya juga turut mendoakan anda kekal dalam keharmonian rumatangga dan bahagia hingga ke jannah! =)

Monday, November 3, 2014

Ekzema (Eczema)

Tajuk: Ekzema
Tarikh: 27 February 2012

EKZEMA
 
APA ITU EKZEMA?

Ekzema adalah istilah umum untuk pelbagai jenis radang kulit (dermatitis). Bentuk yang paling biasa ekzema adalah atopik dermatitis. Ekzema boleh bermula pada semua peringkat umur, walaubagaimanapun, kira-kira 85% daripada mereka yang terlibat adalah kurang dari umur 5 tahun.  Sesiapa yang mengalami ekzema biasanya mempunyai sejarah ahli keluarga yang mempunyai ekzema atau penyakit seperti asma dan demam alergi.

APAKAH PENYEBAB EKZEMA?

Punca sebenar ekzema belum dikenalpasti, tetapi faktor-faktor yang mungkin terlibat termasuk:
·         Kecacatan kulit yang merosakkan fungsinya sebagai penghalang.
·         Fungsi sistem imun yang tidak normal.
·         Kecacatan gen yang menyebabkan keabnormalan dalam protein tertentu yang penting dalam mengekalkan kulit yang normal.
Bahan-bahan yang bersentuhan dengan kulit, seperti sabun, kosmetik, pakaian, bahan pencuci, barangan kemas, atau peluh. 
·         Alergen (bahan-bahan yang menyebabkan reaksi alergi).
·         Perubahan dalam suhu atau kelembapan.
·         Tekanan psikologi.
 
PENJAGAAN KENDIRI

Matlamat untuk rawatan ekzema adalah untuk mencegah kegatalan, keradangan, dan menhalang simptom menjadi lebih teruk. Petua-petua penjagaan kendiri termasuk:
·         Memastikan kulit terhidrasi melalui pemakaian krim atau salap.
·         Elakkan mandi terlalu kerap atau lama.
·         Mandi air suam selama lima minit, dan gunakan krim emolien seperti krim petrolatum dengan segera untuk mengekalkan kelembapan sementara badan masih basah.
·         Elakkan menyentuh bahan –bahan iritasi seperti sabun, minyak wangi, bahan pencuci, barang kemas, perengsa alam sekitar.
·         Pakai pakaian kapas yang longgar.
·         Gunakan kain atau pemampat sejuk untuk mengurangkan kegatalan.
·         Elakkan makanan yang menyebabkan alahan.
·         Kurangkan tekanan dengan senaman, meditasi, atau teknik pengurusan stres yang lain.
·         Pakai sarung tangan pelindung bagi aktiviti-aktiviti yang menggunakan air.
·         Elakkan aktiviti-aktiviti yang membuat anda panas dan berpeluh serta perubahan yang mendadak dalam suhu dan kelembapan
·         Kekalkan suhu sejuk di ruangan tidur untuk mengelakkan diri anda berpeluh.
 
 RAWATAN
 
PANDUAN PENGUBATAN KENDIRI- Ubat untuk Ekzema
(sila klik nama ubat di bawah untuk maklumat lanjut):
 
¨      Cetirizine
¨      Chlorpheniramine
¨      Loratadine
 
 
RUJUKAN:
  1. Laman web: http://www.medicinenet.com/eczema/page4.htm
  2. Laman web: www.ncbi.nlm.nih.gov
  3. Laman web: www.nlm.nih.gov/medlineplus/eczema.htm 
  4.  http://knowyourmedicine.gov.my/newsmaster.cfm?&menuid=96&action=view&retrieveid=147&lang=BM
 
 




Wednesday, October 29, 2014

tassabar!!

1.11.2014 - 2.11.2014..perjalanan mencari erti keikhlasan yang hujungnya mengharapkan keredhaan dan kasih sayang Ilahi..doakan ya ;)

Sunday, July 20, 2014

Saya Dan Kopi (random entry)

Saya memang peminat tegar kopi. Kasi la kopi apa pun..semua ok untuk saya..tapi yang paling jadi kesukaan ialah cappucino, latte dan kopi susu yang opah (allahyarhamah) buat. Ehehee..

Hari ni saya ngikut mak ke Mydin untuk aktiviti membeli belah. Tiba di bahagian kopi segera, saya ternampak produk baru dari Nestle' Nescafe' di rak. Nama produk ni "NESCAFE' Latte Caramel". Nampak macam sangat sedap..dan sangat menggoda iman saya! Udah la tengah puasa kan?! Haishh.

Ikutkan hati, memang gedik-gedik nak ambil satu paket dan letak dalam troli. Tapi akal waras asyik ingatkan tuan punya badan supaya kuat semangat. Sebabnya, kita kan tengah berjihad sekarang? Yelah..berjihad dalam bentuk memboikot segala produk jualan syarikat yang memberi dana kewangan kepada pihak Zionis di Palestine nun. Saya kata PALESTINE, sebab Israel tu TAK WUJUD.

Sangat kesian bila tengok keadaan saudara kita yang tengah menderita akibat pergolakan di Ghazah (Gaza) dan West Bank. Lebih menyayat hati bila tengok anak-anak yang tak berdosa cedera parah akibat perbuatan jahat lagi tak berperikemanusiaan pihak Zionis nih. Tak dapat nak dibayangkan kalau lah anak-anak kita, ataupun adik-adik kita yang jadi mangsa macam diorang tu. Saya tak sanggup nak tengok (apatah lagi nak upload) gambar-gambar anak-anak mangsa hasil dari kekejaman Zionis ni.

Memang saya tak dapat terima bila fasiliti utama macam masjid, hospital dan ambulans kena bedil. Ini kan kemudahan dan tempat ibadat untuk kegunaan awam. Semestinya untuk semua orang termasuklah orang awam. Tapi dah kenapa pulak kena bedil dan bom seolah-olah fasiliti ni markas pejuang Palestin?? Sedih saya..

Jadinya, atas sebab kemanusiaan, saya tanamkan azam dalam diri. Selagi boleh, saya nak bantu saudara-saudara saya di Palestine dengan apa cara termampu. Selain dari cara menyalurkan bantuan kewangan, saya nampak cara memboikot barangan syarikat pro-Israel ni ada signifikannya. Memang nampak macam tak beri kesan sebesar kuman pun pada Israel. Tapi, bayang seluruh rakyat di serata dunia mengambil tindakan yang sama, ini memang akan membuatkan Israel lumpuh.

Oleh itu, meh la kita sama-sama berganding bahu menolong atas sebab kemanusiaan membantu rakyat Palestine yang sedang tersiksa di sana. InsyaAllah, Allah nampak usaha kita dan semoga Allah bantu saudara kita disana. Saya doakan supaya yang Haq dapat ditegakkan dan yang Batil dapat dikalahkan di tanah Palestine. Itukan bumi para Anbiya'..






Saya suka barangan Clinique, minyak wangi DNKY & barangan The Body Shop. Tapi sejak tahu mereka semua ni penyumbang kepada pembangunan negara haram Israel-Zionis, saya dah tak beli lagi.

Saya mohon doa anda yang membaca entry ini supaya mendoakan saya dan seluruh umat manusia yang menyokong hak kemanusiaan di Palestine supaya kuat semangat dan kekal berjuang memboikot barangan keluaran syarikat pro-Israel sehingga nasib saudara kita di sana terbela.

Sekiranya disoal oleh Allah tentang apakah usaha yang telah kita lakukan untuk membela saudara seagama kita, kita ada jawapannya. Semoga usaha kita dipandang oleh Allah swt dan kita tak malu nak menghadap Allah di hari akhirat nanti. Ameen..

Friday, April 25, 2014

Rokok

Saya membenci perlakuan merokok..biar di mana sahaja ia dilakukan. Oleh perokok yang saya kenali dan tidak. Bukan membenci pelakunya tetapi membenci perlakuannya. Yang menatijahkan sesuatu yang tidak ada sedikit kebaikkan pun bukan sahaja kepada diri sendiri malah orang lain di sekitar.

Mungkin ada yang membaca entri ini terdiri dari perokok. Saya tegaskan disini. Saya benci perlakuan merokok, bukan pelakunya. Saya doakan semoga satu hari nanti, si perokok dapat pulih daripada tabiat tidak sihat ini dan lebih sedar lagi menghargai insan yang menyayangi dirinya.

 

Berhenti merokok, kenang insan tersayang yang memerlukan anda.

Monday, February 17, 2014

Mari Mencontohi Mereka!

Sabtu baru-baru ini saya telah menghadiri Seminar Fiqh Penghayatan Solat yang berlangsung di UIAM Gombak. Daripada expectation saya, banyak yang saya bakal belajar dari seminar ini. Objektif saya jelas sejak dari awal lagi. Saya mahu belajar sesuatu yang baru yang belum pernah saya tahu sebelum ini berkenaan solat.

Namun bukan perihal pengisian langsung daripada seminar ini yang saya nak ketengahkan. Sesuatu yang sangat menarik perhatian saya ialah sahsiah murabbi saya yang juga merupakan lecturer semasa di Matrik UIAM dulu. Beliau yang saya maksudkan ialah Ustaz Dr. Maszlee Bin Malik.

Semasa beliau baru bermukadimah membentangkan perihal solat musafir, sekumpulan wanita yang saya percaya terdiri dari seorang ibu yang dua anak masuk ke dalam dewan. Kondisi si ibu kelihatan agak uzur dan tidak membolehkan beliau naik tangga (memandangkan dewan lecture theater tu bertingkat-tingkat). Si ibu ini menggunakan tongkat dan pihak pengelola seminar menjemput si ibu supaya duduk di sofa VIP (sudah tentu di depan sekali). Yang menariknya, Ustaz Dr. Maszlee yang sedang bercakap berhenti sebentar dan melemparkan senyuman sambil menganggukkan kepala tanda meraikan si ibu tadi.

Saya sangat mengagumi ketulusan dan kerendahan hati ustaz yang menunjukkan kesantunan biarpun sudah menjadi public figure. Pada saya, inilah salah satu qudwah hasanah (contoh tauladan) yang semestinya kita ikuti. Biar sehebat manapun kita, kerendahan hati dan sifat sopan santun yang ditunjukkan menjadikan kita somebody yang lebih tinggi darjatnya. Disini, material bukan lagi ukuran menjadikan kita lebih superior dari orang lain tetapi akhlak terpuji yang menjadikan kita high class.

Bukan sahaja Ustaz Dr. Maszlee, saya dapati kesemua penceramah yang membentangkan pada slot masing-masing merupakan individu yang sangat hebat. Antaranya Dr. Zaharuddin Abd Rahman, Ustaz Nidzam  dan juga Dr. Wifaq. Setiap dari mereka tidak pernah gagal menunjukkan peribadi yang terbaik baik dari segi ucapan mahupun perilaku sepanjang seminar berlangsung. Mungkin ada sedikit humor yang diketengahkan namun semuanya dalam keadaan bersederhana dan sopan. Saya percaya ini adalah antara adab seorang murabbi dalam menghormati majlis ilmu.

Peribadi yang menarik ini sangat menawan hati dan saya percaya didikan yang terbaik bagi mengajak orang supaya dekat dengan perkara kebaikkan adalah dengan kasih sayang, ikhlas, hormat, sifat lemah lembut dan berhemah.

Mari kita berubah menjadi insan yang penuh hatinya dengan kasih sayang yang mana dapat mengajak orang lain ke arah kebaikkan tanpa ada sedikitpun rasa prejudis dan judgmental. Ayuh kita berusaha mengikuti jejak murabbi di atas.

Mari mencontohi peribadi mereka!